OPERASI BERSEPADU MEMBANTERAS PERNIAGAAN TANPA LESEN (VAPE) BERSAMA POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) DI KAWASAN MAJLIS DAERAH BACHOK

BACHOK, 28 Julai 2026 – Satu Operasi bersepadu Membanteras Perniagaan Vape dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Bachok BPI dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kawasan Majlis Daerah Bachok. Operasi khas tersebut bermula dari jam 2.00 petang dan berakhir sepenuhnya pada jam 6.00 petang.
Operasi bersepadu yang dijalankan ini melibatkan kekuatan seramai 12 anggota penguatkuasa, gabungan mantap antara pegawai serta anggota polis dari IPD Bachok bersama pegawai penguat kuasa daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) MDBBPI.
Operasi ini merupakan sebahagian daripada tindakan berterusan pihak berkuasa tempatan dalam menguatkuasakan larangan terhadap penjualan/ pengedaran produk vape selaras dengan arahan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengharamkan sepenuhnya perniagaan vape di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
Beberapa premis telah diperiksa dalam operasi tersebut dan Bahagian Penguatkuasaan MDBBPI turut mengeluarkan 2 kompaun atas kesalahan tiada lesen perniagaan di bawah peruntukan (UUK) 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDBBPI (Pindaan) 2025. Sebanyak 1095 kotak rokok elektronik, perasa, vape dan catridge berjaya disita.
Pihak Majlis menegaskan bahawa operasi seperti ini akan dilaksanakan secara berkala dan berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan serta demi memelihara kesejahteraan dan kesihatan masyarakat khususnya generasi muda